BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, August 15, 2009

Konflik rumah tangga Rahmat atau sengketa?

Oleh Idris Musa dipetik dari 1 blog

Usah mengadu pihak ketiga

Sedangkan lidah lagi tergigit
Apa pula suami isteri
Buang yang keruh ambil yang jernih
Baru teguh peribadi.

Apa guna kita bertengkar
Suami isteri harus bersabar
Kasih sayang rukun dan damai
Hidup seperti dalam mahligai.

Maaf hamba wahai dinda
Buang yang keruh ambil yang jernih
Baru teguh peribadi
Suami isteri mesti berpakat

Rumah tangga mendapat berkat
Apa guna selisih faham.
Kalau kini aman tenteram
Pohon ampun wahai kanda

Buang yang keruh ambil yang jernih
Baru teguh peribadi.

DEMIKIAN indahnya lagu dendangan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Puan Sri Saloma, penuh bermakna buat pasangan suami isteri, malah memberi panduan berguna dalam melayari bahtera kehidupan rumah tangga.

Suami isteri yang berkongsi kehidupan bertahun-tahun, malah sehingga akhir hayat pasti tidak dapat lari daripada menempuh pelbagai dugaan berumah tangga.

Kadangkala, perkara kecil terbawa-bawa menjadi kes besar, bermasam muka dan berbalah. Malah, sesetengahnya sanggup mengeluarkan perkataan kesat, maki hamun, mengungkit dan membaling pinggan mangkuk dan periuk belanga.

Pertelingkahan atau konflik rumah tangga semakin menjadi-jadi, malah berpanjangan dari semasa ke semasa jika pasangan terbabit tidak mencapai kata sepakat dan persefahaman, apa lagi jika saling menunjukkan keegoan.

Konflik datang tanpa diundang dan kadang-kadang langsung tidak terfikir pasangan terbabit. Apakah konflik itu suatu malapetaka kepada rumah tangga atau mempunyai rahmat tersirat?

Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Alwi Parman, berkata pertelingkahan berlaku sebagai satu cubaan kepada pasangan terbabit kerana ada dosa dengan Tuhan yang mungkin tidak disedari pasangan terbabit.

“Justeru, ada ketika perkara kecil boleh jadi besar. Kata-kata ringkas boleh memilukan pasangan yang mendengar,” katanya.

Apabila berlaku pertelingkahan, katanya, pasangan dinasihatkan tidak mengadu kepada orang lain, bagi mengelak konflik bertambah teruk.

Mengadulah pada Allah, cepat-cepat bertaubat pada Allah. Begitu juga, apabila bertelingkah kerana orang ketiga, jangan mengadu kepada orang lain, bersemukalah suami isteri. Jika tidak selesai, rujuk pakar kaunseling,” katanya.

Beliau berkata, apabila menerima musibah pasangan terbabit kena bersabar dan jangan berfikiran negatif.

“Jangan fikir Allah tak suka aku sebab beri musibah. Jika berpandangan sedemikian, ini menunjukkan sikap berputus asa, sedangkan dalam agama dilarang berputus asa. Mungkin bergaduh sedikit membawa kebaikan.

“Setiap pasangan kena berfikiran positif, jangan berprasangka buruk apabila berlaku pertelingkahan. Ingatlah, dalam berumah tangga, musuh utama ialah iblis,” katanya.

Menurutnya, umat Islam dilarang memikirkan bukan-bukan apabila berlaku konflik rumah tangga, sama ada terhadap jiran, keluarga mentua atau sial kepada objek tertentu seperti apabila memasuki rumah baru dan sebagainya.

“Tidak boleh mempunyai buruk sangka dan percaya kepada benda yang tidak sepatutnya. Kita kena kembali pada Islam,” katanya.

Beliau berkata, golongan bujang jangan berfikiran negatif seperti takut kepada konflik sehingga sengaja melewatkan berkahwin atau tidak mahu berkahwin, sedangkan ia fitrah semula jadi.

“Kalau tak mahu kahwin kerana takut konflik tak betul.

Sabar ada tiga, dalam ibadat, menerima musibah dan melakukan maksiat. Apabila berlaku pertelingkahan atau musibah, kita kena bersabar,” katanya, yang berpengalaman menyelesaikan banyak kes rumah tangga pasangan Muslim.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, berkata Islam mempunyai pandangan tersendiri mengenai konflik rumah tangga, walaupun secara umumnya setiap konflik dalam rumah tangga itu perlu dijauhi.

“Bagaimanapun, perlu difahami konflik adalah sebahagian ujian Allah dalam kehidupan berumah tangga.

Ujian Allah tidak lain untuk menguji iman manusia,” katanya.

Konflik sesuatu yang perlu dihadapi setiap pasangan berumah tangga, cuma bezanya kecil atau besar kes terbabit dan kebijaksanaan pasangan berkenaan mengendalikannya.

“Sama ada konflik itu memberi kesan positif atau negatif bergantung pada cara seseorang itu mengendali dan menanganinya.

“Contohnya hujan, jika mampu ditampung akan menjadi tasik atau kolam, tidak berlakulah banjir,” katanya.

Menurutnya, kesan positif konflik rumah tangga ialah mengerat, mengukuh dan memantapkan hubungan suami isteri, manakala kesan negatif, antaranya merenggang, melemah dan melonggarkan ikatan rumah tangga.

Beliau memetik kenyataan Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin bahawa perkahwinan itu satu mujahadah, iaitu dalam mentadbir keluarga, mentarbiyah pasangan dan anak-anak, berusaha membentuk mereka, menasihati ke jalan agama, mencari pendapatan halal dan penebus dosa.

“Jika kita lihat semua ujian ini akan menjanjikan pahala dan kebaikan yang amat besar.

“Itulah ujian dan latihan bagi rohani untuk menjadi orang yang reda, pemurah, sabar, ikhlas, penyayang dan bertakwa.

“Menjadi fitrah bagi manusia untuk meningkatkan darjat dirinya berusaha menghadapi setiap konflik ini,” katanya.

Beliau berkata, setiap konflik bukan semata-mata malapetaka yang akan menghancurkan sistem keluarga.

“Tetapi perlulah kita bersabar dan menanganinya dengan kebijaksanaan dan ketakwaan. Ia adalah ujian dari Allah,” katanya.

0 comments: